Thursday, December 31, 2009

Gerhana Bulan Selepas Sambut Tahun Baru

Hanya sejam selepas orang ramai menyambut ketibaan tahun baru tengah malam esok, satu gerhana bulan separa dijangka berlaku bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi.
Ia bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada 3.24 pagi.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataannya semalam menjelaskan, gerhana yang jelas dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi dari pukul 2.53 pagi.
Serentak dengan itu, Jakim menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan bersempena dengan kejadian itu.
Jakim juga menjemput orang ramai menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.
"Program anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam,'' kata Jakim
(Petikan dari KOSMO Online 31/12/2009)

Diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Walaupun begitu, disunatkan sembahyang gerhana dua rakaat. Rencana ringkas mengenai gerhana dalam Islam adalah seperti berikut:-

Definasi Kusuf dan Khusuf

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya.

Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya.

Ada juga ulama' yang berpendapat sebaliknya dan ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan sebagaimana difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana.Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia. Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!!

Kaifiyat Solat Gerhana

Niatnya : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala - (Jika solat seorang diri)

Dan : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala - (Jika berimam)

Pertama : Cara yang biasa

Solat dua rakaat di mana setiap rakaat mestilah mempunyai 2 kali qiam(berdiri) , 2 kali membaca surah, 2 kali rukuk yang mana kesemuanya dilakukan secara biasa tanpa memanjangkannya.Jadi untuk 2 rakaat kita hendaklah mempunyai 4 qiam(berdiri), 4 kali membaca surah dan 4 kali rukuk kesemuanya.

Sah juga dilkakukan solat sunat gerhana ini sebagaimana solat Jumaat atau solat sunat biasa dengan 2 rakaat, 2 qiam dan 2 rukuk tetapi ia telah meninggalkan fadhilat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Kedua : Cara yang paling lengkap atau afdhal

Dilakukan dua rakaat dengan membaca surah yang panjang pada kedua-dua qiam bagi setiap rakaat seperti pada rakaat pertama dalam qiam pertama selepas surah Fatihah dibaca surah al-baqarah atau surah lain yang sama panjang dengannya. Pada qiam kedua dalam rakaat pertama pula dibaca apa sahaja ayat yang menyamai 200 ayat. Dalam qiam pertama untuk rakaat kedua selepas Fatihah dibaca sebanyak 150 ayat dan pada qiam kedua pula dibaca 100 ayat daripada mana-mana surah daripada al-Quran. Kemudian ketika rukuk dipanjangkan sehingga menyamai 100 ayat dan ketika rukuk kedua pula menyamai 80 ayat. Untuk rukuk ketiga iaitu pada rakaat kedua menyamai 70 ayat dan rukuk keempat menyamai 50 ayat. Inilah dia kaifiyat atau pun cara yang paling sempurna dan afdhal.

Selepas selesai menunaikan sunat dua rakaat gerhana maka disunatkan untuk membaca dua khutbah sebagaimana khutbah Jumaat dari segi rukun dan syaratnya. Di dalamnya disentuh masalah taubat, melakukan kebaikan dan juga memberi amaran agar umat Islam menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah.

Cara Bacaan Ketika Solat Gerhana

Pertama : Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaannya adalah secara perlahan atau senyap

Hadis daripada imam Tarmizi daripada Samurah bin Jundub telah berkata : Nabi s.a.w telah sembahyang dengan kami pada kusuf (gerhana matahari) tidak didengari baginya suara.

Kedua : Bagi solat sunat gerhana bulan pula, bacaaannya adalah secara kuat

Hadis diriwayatkan daripada imam Bukhari dan Muslim daripada 'Aisyah : Nabi s.a.w telah membaca secara kuat dalam solat khusuf (gerhana bulan) dengan bacaannya.

Daripada kedua-dua hadis ini memberi kefahaman kepada kita bagaimana solat gerhana matahari dibaca perlahan kerana ia ditunaikan pada waktu siang.Manakala solat sunat gerhana bulan dilakukan pada waktu malam yang menyebabkan ia dibaca secara kuat.

Mandi Sunat Gerhana

Disunatkan kepada kita untuk mandi sebelum solat sunat gerhana sebagaimana hari Jumaat kerana kita mahu keluar untuk solat berjemaah.

3 comments:

  1. salam....kak,

    info yg sangat menarik...

    ReplyDelete
  2. AL...

    Drpd kita ghairah menyambut Tahun Baru dgn konsert..gerhana bulan memberi keinsafan kpd kita utk merenungi kekuasaaNya.

    ReplyDelete